Tuesday, August 31, 2010

Kehidupan dunia ibarat memandu sebuah kereta

Analogi mudah.
Menjalani kehidupan di dunia ibarat memandu sebuah kereta. Sebuah perjalanan mesti ada tempat untuk dituju. Halu tuju yang tepat. Misalnya stesen minyak, rumah di kampung mahupun kedai makan. Pemandu harus fokus supaya selamat. Konsep yang sama dengan kehidupan. Hidup juga perlu bermatlamat. Perlu yakin apabila melangkah di atas muka bumi yang penuh dengan pancaroba dunia dalam mengejar redha Allah.

Melangkah masuk ke dalam kereta si pemandu perlu yakin dengan diri. Berusaha supaya tidak lalai dalam mengendalikan sebuah mesin. Tawakal pada Allah dalam memulakan perjalanan. Sebuah kereta mempunyai cermin belakang supaya pemandu dapat melihat ke belakang. Kehidupan juga begitu. Kita sebagai manusia biasa harus melihat masa lampau kita dengan mengambil iktibar apa yang telah berlaku. Baik dijadikan contoh, pahit dijadikan pengajaran. Perlu untuk melihat ke belakang supaya hidup lebih baik dari hari ke hari.

Cermin sisi juga penting untuk melihat kiri dan kanan si pemandu supaya kita menjaga hubungan baik dengan pemandu-pemandu lain. Menjaga keselamatan di kiri dan kanan. Hidup di dunia ini bukan keseorangan tetapi perlukan orang di sekeliling untuk saling melengkapi. Hidup bekerjasama di atas dunia. Tidak boleh leka dalam setiap minit ketika memandu. Kemalangan perlu dielakkan. Begitu juga dengan kehidupan. Tidak boleh leka dalam setiap tingkah. Semuanya harus dalam redha Allah. Buat apa yang Allah suka, jangan buat apa yang Allah tak suka. Mudah menuturkan tetapi susah untuk diaplikasikan. Inshaa allah, Allah Maha Mengetahui & Maha Penyayang. Allah is the best creator~

Wednesday, August 18, 2010

All praises be to Allah, The Best Creator, The Best Planner

Malam ke-9 Ramadhan
Alhamdulillah, all praises be to Allah. Petang tadi abah balik bawa berita bahawa guru ganti diperlukan di sekolah X. Allah buka pintu rezeki untukku di bulan yang penuh barakah ini. Syukur. Tapi, persediaan untuk ke sekolah esok...kosong! Nothing! including mentally and physically. Allah...


Allah ada perancangan buatmu wahai mujahidah Islam. Jangan dikira gaji yang bakal diterima tetapi kiralah bagaimana kamu ingin memperbaiki dirimu menjadi sang murabbi. Mendidik bukan mudah. Buka minda, buka hati.
Beri peluang untuk diri terus bermujahadah dalam mencari redha Allah
Beri peluang untuk diri mengenal Allah
Beri peluang untuk diri mengenal diri sendiri
Beri peluang untuk diri memperbaiki diri
Beri peluang untuk diri mengenal orang di sekeliling

Jangan mudah melatah
Jangan mudah menyerah sebelum kalah
Umat Islam harus yakin, harus kuat dengan cabaran baru
Allah buka pintu rezeki dan nikmatsupaya kamu bersyukur dan terus menambah amalan dan ibadahmu padaNYA bukan menjadikan alasan sibuk dengan tugas atau nikmat yang diberi untuk kurangkan amalan yang sedia terlaksana sebelum ini. Inshaa allah...amanahMU kuterima dengan hati yang yakin, teguh dan kukuh Ya Rabb. Ku harapkan kekuatan, kesabaran, keyakinan dariMU untuk menghadapi hari-hari yang baru buatku esok dan seterusnya.

p/s: refresh balik kenangan semasa praktikum awal tahun yang lalu...hmmm...tapi ini sek rendah...kamu kuat ya, kamu pasti boleh inshaa allah~

Monday, August 16, 2010

90% daripada 100%

Isnin bersamaan malam ke-7 Ramadhan 1431H
Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan usia kita untuk berada dalam bulan Ramadhan yang barakah. Ingin berkongsi tazkirah selepas tarawih oleh Al-Fadhil Ustaz Othman yang kurang upaya. Kakinya dipotong akibat diabetes. Pengisian yang sangat bermakna buat semua hati yang datang berhimpun di Masjid Kilang Lama. Mabruk buat ahli jawatankuasa masjid atas setiap aktiviti sepanjang Ramadhan tahun ini. Moga kalian memperoleh barakah daripada Allah, inshaa allah.

Sesi tazkirah diselitkan dengan hadis, kalamullah dan pelbagai ilmu Islam. Hati ini terkesan dengan teguran dan penegasan yang beliau perkatakan di minit awal tazkirah.
"Ana berkesempatan berkunjung ke bazar Ramadhan di Kuala Lumpur kelmarin. 90% daripada pengunjung wanita di sana tidak menutup aurat. Hanya 10% daripadanya menutup aurat dan menghormati Ramadhan yang mulia ini. Apa yang berlaku sebenarnya? Berpuasa di bulan Ramadhan tetapi tidak menutup aurat. Tidak wajibkah menutup aurat? Adakah mahu mencabar Allah swt?"
Allahu akbar! Hati berdegup laju. Air mata bergenang dan mengalir mendengar kata-kata Al-Fadhil Ustaz. Ya Allah, hati ini malu mendengar teguran itu. Mungkin kerana diri ini juga seorang wanita. Tetapi, bagaimana dengan 90% wanita di luar sana? Apakah perasaan mereka? Malukah? Ingin berubahkah mereka?
Allah berfirman,"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya"(An-Nuur 24:31)
Ya Allah, aku berusaha sedaya upaya memegang arahanMU itu. Moga Kau tetapkanlah hatiku serta muslimah di luar sana untuk terus bermujahadah dan istiqamah. Ya, bukan mudah untuk melaksanakan perintah ini. Tudung, skaf, sarung tangan, sarung kaki. Logik akal dan tafsiran minda mengatakan menutup aurat adalah merimaskan, menyusahkan, leceh, panas dan sebagainya. Tetapi sebenarnya nikmat di sebalik arahan itu sangat besar. Bak kata orang, ubat sememangnya pahit tetapi pahit itulah penawar. Ada habuan yang baik menanti selepas itu dengan izin Allah.

Ya Allah yang Maha Pemurah...bantulah kami istiqamah dalam menjaga aurat kami Ya Rabb. Dugaan dan hasutan di dunia ini sangat banyak. Jauhkanlah kami daripadanya. Kami lemah Ya Allah. Kami da'if Ya Allah. Berikanlah kami kekuatan untuk terus memelihara aurat kami. Jauhkanlah kami daripada api nerakaMu.

Wahai wanita, Islam adalah agama yang sangat indah. Islam meletakkan wanita di taraf yang tinggi tetapi jangan sesekali kamu menurunkan taraf itu. Ramadhan Kareem~ Berfikir dan muhasabah.

Thursday, August 12, 2010

Malam ketiga di bulan barakah

Malam ketiga berjalan seperti malam sebelumnya tetapi sedikit berbeza kerana ada tazkirah diselitkan hampir sejam. Subhanallah...mekarnya hati ini melihat umat Islam berkumpul dalam rumah Allah pada bulan penuh barakah tadi. Penuh. Masjid Kilang Lama (Kulim) penuh dengan muslimin muslimat yang menghargai Ramadhan kali ini. Allahu Akbar!

Syukur ke hadrat Allah melihat hati-hati yang berkumpul kerana dambakan redhaNYA. Tidak kira usia; dari kecil hingga besar, dari muda hingga tua, dari remaja hingga lanjut usia memenuhi ruang masjid. Tiada masalah bising atau ganggu solat dengan kehadiran anak-anak itu kerana yang datang sememangnya ada hati dengan Islam, Al Quran dan solat. Biasalah jika kanak-kanak berlari dan bermain tapi tidak keterlaluan bisingnya. Alhamdulillah. Mereka sudah dilatih menghormati masjid. Mabruk buat ibu ayah yang mendidik kalian.

Pengisian selama sejam memang berbaloi. Semua jemaah menadah telinga mendengar tazkirah. Moga Al-Fadhil Tuan Guru Haji Sidek Noor sentiasa dirahmati Allah atas perkongsian ilmu yang bermanfaat. Dalam majlis ilmu (tirai dibuka). Anak kecil akan terselit di antara si ayah bagi sesi tazkirah. Mata terpandang seorang pejuang Islam cilik berusia 8 tahun mungkin, dia khusyuk mendengar. Selepas beberapa ketika, keletihan mungkin, tersengguk-sengguk si cilik itu.
Ya Allah, kuatnya semangat dia untuk menghadiri majlis ini. Kau titipkanlah semangat juang buatnya supaya dia bakal memperjuangkan agamaMU kelak. Inshaa allah.
Masih di awal Ramadhan. Moga semangat kita untuk beribadah terus membara dalam mengejar barakah daripadaNYA. Mungkin Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terakhir buat kita. Beribadahlah sebanyak-banyaknya. Allah tawarkan pahala yang melimpah ruah untuk kita. Jom sertai pesta ibadah 1431H. Inshaa allah =)

Wednesday, August 4, 2010

Ramadhan Kareem

Terasa sudah lama tidak berpuasa penuh bersama keluarga di kampung. Berjihad mencari ilmu selama 5 thn kebelakangan susah benar menyambut Ramadhan bersama mereka. Alhamdulillah, Ramadhan 1431H Allah memberi peluang itu. Moga Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya. Akan ku penuhi tiap masa dengan ibadah kerana Allah janjikan pahala yang berlipatganda. Inshaa allah.
Rindu pada Ramadhan di UPSI...
Berbuka ala kadar. Cukup untuk perut diisi. Tidak mewah.
Bahagia di samping sahabat. Sahabat seperjuangan, sahabat usrah, sahabat dalam persatuan.
Tarawih di dataran kolej beramai-ramai.
Khusyuk bersama jemaah memenuhi gelanggang badminton.

Alunan suara sahabat Rakan Surau yang mengimami solat yang syahdu.

Tadarus selepas tarawih bersama mujahid mujahidah yang dambakan redha Allah.

Bertukar tempat untuk solat terawih. Surau Annur di kampus utama jadi sasaran.

Walau sibuk dengan tugasan harian sebagai mahasiswa, Alhamdulillah...Ramadhan diraikan dengan sebaiknya dengan niat mencari redha Allah. Inshaa allah jika diizinkan Allah, masih berpeluang utk merasai nikmat dalam bulan Ramadhan kali ini. Ahlan Ya Ramadhan. Akan kusambutmu dengan sebaik-baiknya. Ramadhan Kareem~

Sunday, August 1, 2010

Entri yang ringkas

Hati ini makin gundah, makin gelisah. Esok, 2hb sesi temuduga GST. Ya Allah, ku mohon dimudahkan urusanku. Tidak mampu mengukir senyum dengan hati.
Ya Allah, kumohon titipkanlah ketenangan, kekuatan dan keyakinan buat diri ini menghadapi hari esok...
Buat sahabat yg lain...mesti tertunggu-tunggu khabar dariku. Ya, nanti kita kongsi bersama apa yg berlaku. Inshaa allah tetapkan keyakinan pada Allah. Orang lain tidak tahu apa yg kamu rasai sekarang... Senyumlah...andai ia mampu menyenangkan hatimu yang kalut =)
Daisypath Anniversary tickers
Lilypie Pregnancy tickers